Wednesday, December 1, 2010

Majlis Sambutan Qurban 1431H Surau Tmn Tenaga

Sambutan yang diadakan pada 17/11/2010 adalah meriah memandangkan bilangan lembu yang dikorbankan adalah sebanyak 5 ekor. (Paling banyak dalam sejarah Tmn. Tenaga). Majlis penyembelihan dan urusan yang berkaitan telah dijalankan di Dataran Surau (Pdg bersebelahan surau, Jalan 9). Tenaga kerja pula dibuat secara kerjasama bersama ahli kariah dan juga warga asing beragama Islam iaitu Bangladesh dan Indonesia.

Pada 16/11/2010 telah di sembelih seekor lembu aqiqah dan persiapan memasak telah dijalankan bermula selepas jam 5.00 petang. Muslimat terlibat secara terus dengan menyediakan pra persediaan memasak. Pada petang itu, muslimat secara beramai-ramai telah memotong bawang, goreng kacang, merebus nasi himpit. Remaja juga telah melibatkan diri membantu hingga ke malam.

Takbir rumah ke rumah sebanyak 4 buat telah diadakan. Ada juga jamuan di surau untuk muslimat dan remaja(disaat-saat akhir).

Nasi himpit, kuah kacang dan rendang telah dijamu pada muslimin muslimat selepas solat Aidil adha. Air teh dibuat. Terima kasih muslimat yang telah bertungkus lumus menyediakan juadah di surau. Semua tentunya faham, kaum wanita juga terpaksa menyediakan juadah di rumah masing2 tapi masih mampu untuk melibatkan diri di surau.

Monday, November 15, 2010

Aktiviti

Alhamdulillah..... lama betul tak menulis blog ni. Bukan takde aktiviti kat surau atau muslimat buat tapi tak sempat nak upload gambar. Tambahan plak broadband Celcom ni lambat sangat, selalu signal tenggelam timbul. Tu yang malas nak mengadap komputer. (ALASAN)

Pentadbiran surau telah bertukar tangan pada Jun 2010 lalu. Ada juga muka-muka lama yang masih terlibat. Terima kasih kepada kumpulan lalu yang bertungkus lumus untuk pembangunan surau, memakmorkan dan mentadbir surau.

Jawatankuasa yang baru ni pun mesti bekerja keras untuk terus memantapkan perjalanan surau dan memakmorkan demi kesejahteraan kariah taman. Nama Lajnah telah ditukar pada Biro iaitu mengikut peraturan JAIS.

Sekarang ni KUWATT bukan lagi Lajnah Muslimat. Nama barunya BIRO HAL EHWAL WANITA atau singkatan HELWA. Nama saja yang dah tukar tetapi tetap mengenai wanita gak.

HELWA terus jalankan aktiviti dengan tadarus pada bulan Ramadhan yang lalu, di surau pada jam 9 pagi setiap hari hingga khatam.

Ceramah Tentang Hati oleh Prof. Madya Dr. Azizan bin Ahmad telah diadakan pada 30/10/2010 dan mendapat sambutan menggalakkan dan diluar jangkaan. Ruang surau dipenuhi hampir 50 orang kariah lelaki dan wanita. SYABAS KARIAH TAMAN TENAGA.

Pada 14/10/2010 Pengerusi surau telah meminta kerjasama HELWA untuk terbabit dalam program Bacaan Quran Tahlil dan Doa Selamat. Alhamdulillah, program berjaya dijalankan dengan penyertaan muslimin muslimat daripada golongan dewasa, remaja dan kanak-kanak yang boleh membaca Quran.

Dijangkakan pada 16/11/2010 ini iaitu sehari sebelum Raya Aidil Adha tahun ini akan disembelih lembu aqiqah di surau, muslimat akan terlibat dalam gotong-royong persediaan memasak. pada Aidil Adha pula, muslimat akan menyediakan sarapan yang dimasak di surau. InsyaAllah.

KALI PERTAMA

Sunday, May 2, 2010

Pemantapan Solat

Syukur sesangat kerana Allah telah memberi peluang untuk hadir dalam ceramah ini. Kesudian ustaz Husaini untuk sesama berkongsi ilmu dengan kariah ini adalah rahmat Allah jua.

Memanglah semua Muslimin muslimat tahu berwuduk dan solat, tapi ceramah ini membantu memperelokkan lagi cara. Disamping itu diajar secara praktikal tentang tayamum, solat ketika sakit, bagaimana tentukan arah kiblat dan ditekankan tentang rukun solat.

MENGENAI TAYAMUM:
1. Tiada air - syaratnya kena cari air dulu sehingga jaraknya lebih kurang 1.8km
2. Selepas benar2 yakin masuk waktu solat
3. Sekali tayamum untuk 1 solat fardu sahaja.
4. Sakit yang tidak boleh kena air atau sebahagian anggota wuduk yang sakit(berbalut).

Niatnya:
SAHAJA AKU TAYAMUM BAGI MENGHARUSKAN SOLAT KERANA ALLAH TAALA.
Dengan niat ini, dibolehkan solat fardu, baca Quran dan Tawaf.

Anggota Tayamum:
1. Muka
2. Tangan

Rukun Tayamum:
1. Niat
2. Muka
3. Tangan
4. Tertib

Cara lakukan Tayamum:

Anggota badan yang terhalang ketika wuduk (berbalut)
A.) Muka bertampal (contoh pipi):
1. Berwuduk seperti biasa, bahagian yang sihat (tidak berbalut)
2. Berhenti:
i) lapkan muka dengan kain supaya kering
ii) tayamum ikut rukunnya.
iii) sambung basuh tangan ke siku, tertib hingga habis.

B.) Jari/Tangan/siku berbalut:
1. Berwuduk seperti biasa, bahagian yang sihat (tidak berbalut)
2. Berhenti:
i) lapkan muka dan tangan dengan kain supaya kering
ii) tayamum ikut rukunnya.
iii) sambung ikut tertib hingga habis.

C.) Kaki berbalut/simen
1. Berwuduk seperti biasa, bahagian yang sihat (tidak berbalut)
2. Berhenti:
i) lapkan muka dan tangan dengan kain supaya kering
ii) tayamum ikut rukunnya.

JIKA A, B DAN C, 3 ANGGOTA BERBALUT SERENTAK, KENA TAYAMUM 3 KALI MENGIKUT TERTIB.

JIKA 4 ANGGOTA BERBALUT SERENTAK, TAYAMUM HANYA SEKALI SELEPAS BERWUDUK SEPERTI BIASA.

Tuesday, April 13, 2010

Lawatan Ke Kelantan 22 Mei 2010

Waaaah... Bila dah start menulis, ada je idea dan maklumat yang nak disampaikan.


Aktiviti yang telah dirancang untuk dilaksanakan oleh KUWATT. Cepat-cepat!!! Daftar untuk lawatan ke Kelantan pada 22 Mei 2010. Tambang pergi balik RM70.00 sahaja. Perbelanjaan makan minum kena tanggung sendiri laaaa....

Daftar dan deposit RM30.00 hendaklah diberi sebelum/pada 30/4/2010 ni. Deposit tak dipulangkan jika tidak jadi pergi, sila cari pengganti. Langsaikan bayaran sebelum/pada 15/5/2010 nanti. Oh lupa pulak... Borang disediakan di rumah Pn Hjh Noreena.

Perserta terbuka kepada kariah Taman Tenaga dan kawasan sekitarnya. Peserta bukanlah wanita saja, boleh juga lelaki dan kanak2 berumur lebih 5 tahun ke atas. Tempat lawatan adalah Pengkalan Kubor dan Kota Bharu serta sekitarnya.

Lawatan ini adalah aktiviti julong kali dianjurkan oleh KUWATT.

Jawatankuasa 2010-2013

Assalamualaikum!!!!! Semuga ceria dan sihat hendaknya. Dah lama tak menulis aktiviti KUWATT. Nampaknya bulan Mac adalah bulan suram dari aktiviti, yang dirancang terpaksa diKIV kerana kekangan masa dan kurang tenaga.

Pada 25 Mac 2010 surau telah mengadakan Mesyuarat Pemilihan AJK Surau untuk Jun 2010-Jun 2013. Sambutan kariah cukup menggalakkan. Kehadiran melebihi 100 orang, syabas!

Ketua Muslimat adalah Puan Hjh Noreena Lim Abdullah, sementara bilal jenazah wanita adalah Pn Kamariah Kammarudin.

Semuga surau akan diimarahkan oleh jawatankuasa yang dilantik oleh suara ramai kariah. Walau apapun, sokongan dan kerjasama kariah itu yang penting untuk memakmurkan surau kita. Sama-samalah membantu jawatankuasa surau untuk menjalankan aktiviti yang dirancang kerana kejayaan sesuatu aktiviti bergantung pada kariah yang turut melibatkan diri.

Sepatah dua untuk Jawatankuasa surau 2010-2013, 'Pegang tanggungjawab yang diberi dengan penuh keimanan, ikhlas dan zuhud pada Allah. Jalankan aktiviti yang boleh menjamin kesejahteraan dan keharmonian kariah serta tingkatkan pembangunan fizikal dan rohani.'

Friday, March 12, 2010

English In Camp

Salam buat semua pembaca.

Pihak lajnah Muslimat memohon maaf kerana aktiviti EIC yang sepatutnya diadakan pada 13-15 Mac 2010 telah ditunda ke satu tarikh yang belum ditentukan. Kemaafan ini ditujukan kepada anak-anak yang begitu berminat menyertai aktiviti ini dan menunggu-nunggu bila akan diadakan.

Terima kasih untuk ibubapa yang prihatin bertanya tentang aktiviti ini. InsyaAllah pihak lajnah akan mengusahakan secepat mungkin demi kebaikan anak-anak.

Tidak lupa, pihak lajnah ingin mengucapkan 'SELAMAT BERCUTI SEKOLAH' 12Mac - 20Mac & 13Mac - 21Mac untuk negeri-negeri yg berkenaan. Jaga diri baik-baik semasa cuti ni walau apapun kegiatan yang dilakukan bersama keluarga ataupun dengan kawan-kawan. Lakukan sesuatu yang berfaedah untuk diri, keluarga, kariah tempat tinggal dan agama.

Sunday, February 28, 2010

Bengkel Masakan

Salah satu aktiviti Lajnah Muslimat yang dijalankan adalah bengkel masakan. Wah...wah pemangku ketua lajnah pun sudi untuk berkongsi sama masakan beliau.

Resepi Kuzi Ayam menjadi pilihan untuk dikongsi bersama dengan muslimat. Ramai juga yang berminat. Hingga akhirnya mereka tunggu dengan penuh minat, sambil bertanya itu ini.

Acara kemuncak adalah merasa masakan yang dibuat. Makan dengan roti. Hmmmmm.. sedapnya. Nak resepi ke? Kena tanya Pn Hjh Noreena dulu, minta permission untuk siar resepinya. Ok ye!

Friday, February 26, 2010

MAULIDUR RASUL

SALAM MAULIDUR RASUL

Hari ni 26/2/2010, 12 Rabiul Awal 1431H.
PERBANYAKKAN SELAWAT KE ATAS JUNJUNGAN KITA, NABI MUHAMMAD S.A.W, bila-bila, dimana-mana, ketika senang dan susah, suka dan duka.

Tunjukkan rasa kecintaan kita bukan hanya dengan kata-kata tapi lahir dari hati yang penuh keinsafan.

Thursday, February 11, 2010

Panduan Hidup Muslimah


Alhamdulillah, jumpa lagi kita di maya ini.

Program ceramah KUWATT telah berlalu pada 24/1/2010. Sambutan dari kariah amat menggalakkan, lebih dari 20 orang muslimat yang hadir. Muslimin pun ada yang tumpang dengar.

Ustaz Husaini memberi ceramahnya secara marathon mulai jam 9.00 pagi hingga jam 11.30 pagi. Seperti biasa banyak soalan-soalan yang dikemukakan pada akhir sesi.

Dalam ceramah Ustaz ada menyentuh mengenai:
Perbetulkan niat dengan cara:-
  1. Menuntut ilmu untuk mencari Redha Allah
  2. Menghidupkan Jemaah Surau
  3. Baiki diri dalam bersyariat
  4. Beramah mesra dengan kawan

Apa yang penting adalah:

  1. Mengaku salah
  2. Membuang ego diri
  3. Mesti tahu kesilapan sendiri
  4. Mesti tahu baiki - dengan cara
  • berguru
  • bersahabat dengan orang saleh/salehah
  • dengar kata musuh sebagai Cermin Diri
  • lihat alam sekeliling sebagai iktibar



Thursday, January 14, 2010

inventori peralatan setor/dapor

Tiba di surau pagi tu kul 9.00, bersemangat nak gotong royong. Ku disambut oleh monyet liar plak. Mengintai dicelah langsir bahagian muslimat, Beranike masuk.... Monyet besar seperti JAGA. Ku lihat monyet yang lebih kecil, entah berapa ekor.. berkejaran dalam surau, sambil menarik kain langsir, memanjat tngkap yang terbuka sikit tu... Seronoknya!!!!!!

As dan Yati pun dah sampai, tapi kami bermesyuarat kat luar pagar surau je.. Nasib baiklah Pak Din (suami Kak Yam) datang, menghalau monyet2 tu.
Terpaksalah mencuci carpet kesan najis monyet.

Kul 10 pagi, kami rancak di dapor dan setor mengumpul dan mengira peralatan. Ada buat secara individu dan ada yang berdua, mencatit dan mencari. Sambil tu mengemas, menyusun dan menyapu sampahlah jugak.

Haa...dah lega!!! Dah dapat buat catitan peralatan, dah tanda pada barang2 dan rekod atas kertas. Cikgu Noreena sanggup nak taip cantik2 dalam buku rekod.

Part yang best adalah...... apa lagi makan-makan. Penat juga buat inventori tu, nasib baik ada makanan. Nasi himpit, kuah kacang, rendang ayam dan kek.....hmmmmm sedapnyaaa......

Baca Yaasin, tahlil dan doa selamat (9/1/2010)

Salam,
Dah lama tak jengok blog.... a bit busy 2-3 hari ni. Hati tu ingin nak layari tapi problem sikit ngan line internet, kerap fluctuate signal, adakalanya 0 mbps.

Permulaan tahun baru yang cukup memberangsangkan. Program muslimat dimulakan pada 9/1/10 lalu. Alhamdulillah.... kehadiran hampir 20 orang. Tu satu azam... menghadiri majlis ilmu. Boleh juga bertanya kabar dan mendapat peringatan sikit sebanyak.

Ucapan selamat untuk Kak Ani, Kak Yam dan cikgu Siti Romlah yang baru pulang dari mengerjakan haji baru-baru ni. Doa selamat juga pada kita semua yang akan menghadapi dugaan dan cabaran yang Allah beri untuk meningkatkan keimanan kita.

Tahlil tidak dikhususkan pada arwah seseorang tapi kepada arwah ibubapa, sanak saudara terdekat dan jauh dan akhirnya arwah muslimin muslimat.

Selepas tu cikgu Noreena dan Kak Yam buat air teh O, apalagi dia orang dah masak kari ayam makan dengan roti. Alhamdulillah... rezeki.

Terima kasih untuk semua yang hadir dan yang menyediakan makan minum untuk petang tu. Ni yang bestnya program muslimat..... diakhiri dengan makan.

Oh ya...jangan lupa! Sesiapa karitah Tmn Tenaga yang nak join jadi ahli, borang ambil kat mak chaq. Yuran RM5.00 seumur hidup. Berbaloi....cayalah!!!

Friday, January 1, 2010

Tahun Baru

Selamat Menyambut Tahun Baru 2010 Masehi. Semuga tahun ini akan lebih menyerlah dan lebih memberi makna untuk kita. Semuga segala perancangan berjalan lancar dan kita sentiasa dapat mengimarahkan surau kita.

Lajnah Muslimat pun telah mengadakan mesyuarat JK pada 29/12/2009. Waaah... aktiviti yang dirancang hingga bulan Jun ni semuga mendapat sambutan dari muslimat.

Aktiviti yang dicadangkan:-

Bacaan Yaasin & doa selamat (Hari Sabtu, jam 2.30 petang)
9/1/2010
6/2/2010
27/3/2010
10/4/2010
8/5/2010
26/6/2010

Ceramah:-
23/1/2010 (Hari Sabtu jam 9.00 pagi)
24/4/2010 (Hari Sabtu jam 9.00 pagi)

Bengkel Masakan:-
20/2/2010 (Hari Sabtu, jam 9.00 pagi)

Bengkel Kraftangan:-
28/3/2010 (Hari Ahad, jam 9.00 pagi)

English In Camp:
13hb-15hb Mac 2010 (Hari Sabtu - hari Isnin)
Kumpulan sasaran - pelajar sekolah rendah & menengah.
Keutamaan untuk anak-anak kariah Tmn Tenaga.
Penyertaan dari kawasan sekitar juga dialu-alukan.

Edaran akan dibuat untuk semua aktiviti ini, seminggu sebelum aktiviti dijalankan kecuali EIC.

Satu lagi aktiviti yang julung kali dirancang adalah Lawatan ke Kelantan pada 27/3/2010-28/3/2010.
Muslimat Tmn Tenaga adalah dijemput untuk mengikuti lawatan ini. Penyertaan terhad kepada 40 orang termasuk AJK lawatan. Bayaran tambang perjalanan pergi dan balik sebanyak RM90.00 seorang. Sila beri nama dan pendahuluan sebanyak RM50.00 sebelum 22/3/2010 kepada Pn. Halisah bt. Sellaman (Blok A) dan Pn. Aslamiah bt Said (Jln 9).